Wednesday, November 18, 2009

Poligami??

Di penghujung zaman ini, wanita semakin ramai. Adakah poligami merupakan jalan penyelesaiannya? Betapa hebatnya Allah SAW…….

Aku sering kali tertanya-tanya, mengapa begitu sukar untuk wanita menerima poligami. Ianya sesuatu yang telah dicipta hukumnya oleh Allah SAW, tetapi mengapa begitu ramai yang menentang, yang sukar menerima, yang telah memberi amaran kepada suami-suami mereka untuk tidak berpoligami malah menyebut tentang poligami pun tidak dibenarkan.

Aku juga seorang wanita. Dan aku juga sering berfikir, sekiranya ujian ini menimpaku, adakah aku boleh menerimanya? Redha dengan pemberian Ilahi? Suatu malam aku telah bermimpi yang suamiku datang bertemu denganku bersama seorang wanita. Suamiku menyatakan hasratnya untuk berkahwin lagi. Melihat suamiku memegang tangan wanita itu telah membuat aku hilang kata-kata dan mengeluarkan air mata. Hancur luluh hatiku hanya kerana melihat suamiku memegang tangan wanita itu. Bagaimana pula nanti sekiranya mereka berkahwin? Aku menangis semahunya dan merasakan dadaku sesak sehingga aku terjaga dalam keadaan masih menangis. Fikirku patutlah, ramai wanita tidak rela dimadu…..

Namun aku berfikir lagi……adakah layak untuk aku tidak membenarkan suamiku berpoligami hanya kerana memenangkan rasa cemburuku? Hanya kerana aku tidak merelakan wanita lain memegang suamiku, bermanja dengan suamiku, berkongsi kasih dengan suamiku?

Aku masih berpijak di bumi nyata. Aku bukan sahaja seorang isteri, ibu, anak, tetapi aku juga seorang teman, seorang sahabat kepada rakan-rakanku. Aku mempunyai ramai teman wanita yang masih tidak mendirikan rumahtangga. Kebanyakan rakan wanitaku ini berkerjaya, sudah memiliki rumah dan kereta sendiri, cuma tiada suami. Mengapa mereka tidak berkahwin? Begitu sukar untuk mencari lelaki bujang yang berkelayakan menjadi suami? Memang benarpun, sudahlah spesies lelaki makin menyusut, yang ada pulak ramai dah masuk pusat serenti dan yang selebihnya memilih untuk jadi mak nyah pula…Maka tidak hairanlah kalau bilangan lelaki bujang yang berkelayakan semakin berkurangan. Menurut teman-temanku lagi, kalau suami orang, ramai yang boleh dibuat calon…dan ramai yang ingin memperisterikan teman-temanku ini terdiri dari suami orang. Namun benar juga, sukar untuk menerima lamaran mereka sekiranya isteri-isteri mereka tidak membenarkan.

Dan lazimnya memang isteri mereka tidak membenarkan dengan alasan bimbang suami mereka tidak dapat berlaku adil dan bimbang hak-hak mereka akan dirampas. Betul juga alasan ini kerana kebanyakan suami yang ingin berpoligami kini, hanya kerana menunaikan tuntutan nafsu, tanggungjawab dan sebagainya diletakkan di senarai terakhir. Maklumlah, bak pepatah orang puteh “Love is blind”. Inilah yang mencemarkan nama poligami. Dan apabila wanita menolak poligami, janganlah hanya wanita yang dipersalahkan.

Bercakap mengenai hak-hak isteri, bagaimana pula hak-hak wanita bujang zaman ini? Adakah kita menafikan hak mereka? Jika mereka ingin mempunyai keluarga sendiri, anak sendiri, ingin memenuhi naluri mereka sebagai seorang manusia, ingin merasakan betapa indahnya mengandungkan anak sendiri………bagaimana? Sekiranya lelaki yang bujang dan berkelayakan telah semakin kurang bilangannya berbanding wanita bujang dan lelaki berkelayakan dan sudah berkahwin pula tidak dibenarkan berkahwin lagi….adakah kita akan menyuruh teman kita yang belum berkahwin, sudah bergelar andartu untuk menerima takdir mereka seadanya yang mereka akan membujang sepanjang hayat? Atau apabila mereka terjerumus ke lembah maksiat kita akan berkata yang itu bukan masalah kita. Memang mudah untuk berkata-kata. Aku pernah mendengar kata-kata seorang teman, kesunyian itu juga satu kemiskinan.

Jika aku meletakkan diri aku di tempat seorang isteri yang akan menghadapi poligami, aku tentu akan bimbang adakah aku mampu untuk menerima seorang wanita lain untuk berkongsi kasih dengan suamiku? Berkongsi katil dengan suamiku? Adakah suamiku akan masih menyayangiku? Adakah suamiku akan masih mengasihi anak-anakku?

Jika aku meletakkan diriku di tempat seorang wanita yang telah mempunyai segala-galanya melainkan suami, aku tentu inginkan belaian kasih sayang seorang suami, aku tentu inginkan sebuah keluarga, aku tentu ingin bergelar seorang ibu. Dan aku tentu berasa sunyi apabila pulang ke rumah yang kosong setelah pulang dari tempat kerja…..

Hanya Allah SAW juga yang lebih mengetahui, setiap sesuatu yang terjadi pasti ada hikmahnya. Setiap sesuatu yang telah Dia tentukan pasti yang terbaik untuk hambaNya.

Sekiranya, tiba masa, suamiku terpilih olehNya untuk menjalankan poligami, aku berharap agar aku akan diberi kekuatan untuk menghadapinya. Aku berharap agar aku akan dapat menyokong suamiku untuk melaksanakan tanggungjawabnya. Aku berharap agar aku akan sentiasa sedar yang cinta nombor satu hanyalah cinta pada Allah SAW. Bukan sahaja untuk menghadapi poligami malah untuk mengharungi setiap saat dalam kehidupan ini. Kerana aku hanyalah hambaNYa yang lemah, hina lagi tidak berdaya.

AYu

1 comment:

Unknown said...

Asraf..hang dah dapat green light ni,,,