Tuesday, July 27, 2010

Nurul Adibah, hampir 6 tahun....


Bulan September ni, Adibah akan berusia 6 tahun…..hmmm dah semakin besar dah anak daraku yang istimewa nih…..dan itu juga bermakna, sudah 6 tahun aku tidak mengandung. Bila difikirkan, lamanya…….6 tahun…..

Ngeri bila difikirkan…..tapi bukan itu persoalannya….yang sebenarnya adakah aku masih mahu mengandung? Masih mahu melahirkan zuriat untuk suamiku? Memang, aku masih tidak memikirkan soal ini atau lebih tepat lagi masih melarikan diri dari memikirkan tentang hal ini….tapi sampai bila? Adakah aku sudah nekad untuk tidak mengandung lagi? Atau masih tercari-cari, masih menunggu masa yang sesuai untuk mengandung?

Bila aku mengenangkan Adibah, rasanya cukuplah 2 orang anakku…..Adibah sudah hampir 6tahun, sudah seberat 13kg dan masih tidak boleh berjalan. Aku kena mendukung Adibah untuk dimandikan, dan untuk di bawa ke mana-mana. Tapi betul, bersyukur sangat sekurang-kurangnya tidak sukar untuk membawa Adibah ke mana-mana, ada stroller :)

Tetapi apabila memikirkan untuk melahirkan lagi, terus terang aku takut. Aku takut sekiranya aku dikurniakan lagi seorang anak yang sama seperti Adibah atau lebih istimewa lagi. Memang betul, anak seperti Adibah dijanjikan syurga dan itu merupakan saham akhirat yang begitu berharga. Aku yakin akan semua itu....Aku berasa sangat bertuah for being the chosen one…..but still…..

Apa yang paling aku takuti ialah untuk menjadi seorang ibu kepada anak yang sakit, yang perlu menjalani pembedahan, seperti Adibah, yang tubuhnya begitu kecil dan perlu dibedah, dimasukkan ke ICU…..Aku masih lagi dapat melihat tubuh Adibah yang sangat kecil itu, kerana berat yang semakin menyusut, belakang badan Adibah yang dipenuhi wayar yang berselirat dan salah satu wayar tu mengalir darah ke sebuah beg darah tergantung di tepinya……aku masih dapat melihat visual itu….sangat terkesan di hatiku. Adibah kelihatan begitu lemah, kaku, tidak berdaya….Ya Allah, tidak dapat kugambarkan perasaanku tatkala melihat keadaan Adibah ketika itu… perasaan itu sangat menyiksakan…..sangat menakutkan…..dan kerana itulah aku sangat takut untuk melahirkan lagi, aku takut sekiranya aku perlu berdepan dengan situasi ini lagi….sangat takut…..biarpun aku tahu setiap ujian dan dugaan yang menimpa pasti akan disertakan dengan kekuatan untuk menghadapinya….

Aku masih takut untuk mengulangi semuanya....

Memegang tubuh kecil itu yang menangis teresak-esak, ketika wayar yang panjang dimasukkan terus ke perutnya melalui hidung kerana dia tidak dapat menyusu, dan apabila wayar itu dikeluarkan, wayar itu penuh lendir berdarah dan dia menangis lagi…

Melihat tubuh kecil itu sukar bernafas kerana pneumonia dan sukar menyusu kerana jantung yang berlubang…dan apabila dia perlu bernafas dengan bantuan mesin dan wayar itu diletakkan di hidungnya, dia akan menarik-narik wayar itu, of course, tak selesa….

Dan dengan pengalaman ini, aku sangat mengerti perasaan seorang ibu apabila melihat anaknya menanggung kesakitan, seolah-olah bukan sahaja dapat merasai kesakitan itu malah berasa lebih sakit lagi, lebih sedih lagi dan kalau boleh biarlah ibu sahaja yang menanggung segala-galanya…..aku tahu perasaan itu….

Dan sekiranya aku mengandung lagi, siapa yang akan mengangkat Adibah ke sana sini, siapa yang akan memandikan Adibah ketika perutku sarat mengandung, siapa yang akan menjaga Adibah ketika aku masih belum pulih sepenuhnya selepas melahirkan….

Dan semua ini masih bermain-main di kotak fikiranku….dan apabila terdapat persoalan yang tidak dapat dijawab, aku akan segera lari dari memikirkan hal ini dan dengan itu masih memilih untuk tidak mengandung. Tetapi adakah pilihanku ini juga pilihan yang terbaik untuk suamiku dan anak sulungku??

Life is about making choices….but still to decide on what to choose, it is not as easy as ABC....

AYu